From the heart of Ummu Ameer

December 10, 2007

Rindu

Filed under: Uncategorized — khuzama @ 6:24 pm

10 Disember 2007 Hari ulangtahun kelahiran fitrahnya menggembirakan. Semenjak tengah malam tadi telefonku tidak jemu-jemu memberitahu kehadiran sms baru. Ucapan ulang tahun hari lahirku pastinya. Kuselitkan impianku dalam DOA Saban hari, tiap ketika Ku ingin melihat dikau bahagia Ku ingin rindumu pada perjuangan tidak berbalas kecewa Ku ingin dikau tersenyum pabila Impianmu bukan mimpi semata Selamat Hari Lahir Dalam sebak, hampir menitis si air mata. Membaca ingatan hari lahir dari insan yang teramat ku rindu, meskipun teknologi mengizinkanku menatap wajahnya di laptop saban waktu. Namun itu tidakkan mampu menjadi syifa’nya. Minda tak pernah gagal memainkan filem kenangan ketika aku dan dia bersama. Tidak pernah layu detik waktu saat pertama kali dia menyuapkan nasi ke mulutku. Mata kami lembut bertentangan dan hatiku sarat dengan cinta terhadapnya. Bermula detik itu kita sama-sama menyusuri jalan kehidupan yang terlalu bermakna meski penuh berliku. Mana mungkin ku lupa tika dia menjadi guruku menyemak hafazan kalimah kalimah Allah. Terkenang dulu terlalu selalu ku mengadukan padanya kelelahan dalam memikul amanah sebagai hamba. Terkenang saat aku dan dia bercerita dan mengukir impian yang sama untuk menjadi mujahidah yang melahirkan generasi jundullah. Terkenang saat kami sama-sama merasai kejerihan ditarbiyah namun kesannya terlalu indah. Terkenang jua bagaimana aku dan dia sama sama mengejar Cinta agung dalam halaqah, dan mencari kekuatan ruhiyyah dalam katibah. Tak bisa ku lupa madah-madah indah darinya mengingatkan ku kepada keindahan hidup untuk Allah. Kekuatannya menjadi inspirasi untuk ku tega menghadapi tribulasi. Aura ketenangannya bersinar memancar kepadaku. Tidak pula kunafikan kadangkala layar putih ukhuwah kita dipalit rona-rona duka. Tentunya kerana kekurangan pada diriku jua dirinya. Namun kerana seawal pertemuan telah kita pasakkan niat bahawa cinta kita demi mengejar cintaNya, maka semua calitan itu tidak penting bagiku. Terlalu banyak yang indah sehingga menutupi kekurangan seni. Semua saat itu sudahpun berlalu tapi tidak hanya meninggalkan kenangan dalam hati. Sebaliknya terlalu banyak pelajaran yang dpat ku ambil, terlalu banyak kemanisan yang masih dapat kurasai hingga kini. Orang selalu berkata, bila ukhuwah kerana Allah, pasti tak jemu bertemu, tak gelisah berpisah. Ku tidak pernah jemu bertemu dengannya, jua tidak gundah berjauhan darinya meskipun setiap saat ku menyulam rindu. Teramat rindu. Kita bertemu di jalan dakwah, kita berpisah pada persimpangan misi walaupun destinasi yang kita tujui adalah sama. Kita membantu dalam bermujahadah dan kita meredhai kerana Allah. Ukhti, kau mendahuluiku merealisasikan impian kita- menjadi sayap kiri kepada seorang mujahid. Dan kini kau sedang menanti kelahiran puteri sulungmu, hatiku pula yang tidak sabar untuk menatap wajahnya. Kerana kau telah mengizinkan ku untuk menjadi ummu angkatnya. Walaupun rindu sering bertamu, walaupun medan kita berbeza namun ku yakin kau tidak pernah meletakkan tanggungjawab mujahidah yang kau galas selama ini. Aku masih seperti diri yang dulu, masih berusaha mengotakan janji-janji muslimah. Walaupun kadang-kadang aku terleka dan terlalai, janji dan kalamullah sering menjadi taujihad yang menginsafkan. Pemberian yang terlalu indah apabila persaudaraan kita persaudaraan aqidah. Dan ghayah kita adalah Sang Pencipta. Uhibbukifillah!! Indahnya andai dapat ku sebarkan pada dunia betapa manisnya ukhuwah kerana Allah!

Kehidupan..

Filed under: Uncategorized — khuzama @ 6:23 pm

9 Disember 2006, malam. Aku sedang menjadi peserta satu kem ibadah, sedang duduk dalam satu bulatan manusia, mengikuti modul yang disediakan oleh pihak penganjur. Ramai yang mengucapkan selamat hari lahir. 10 Disember 2006, aku di wad orthopedic, HTAA. Mengikuti rombongan dakwah membawa misi menyebarkan maklumat fiqh ibadah pesakit. 9 Disember 2007, malam. Aku sedang mengikuti satu program ibadah. 10 Disember 2007, lewat petang. Aku sedang duduk dalam halaqah menunggu masuknya waktu maghrib sambil mendengar pengisian ruhani dari sahabat yang begitu dicintai. Hari ini hari Isnin, ada iftar dengan sahabat-sahabat walaupun aku sedniri tidak berpuasa. Ramai yang mengucapkan selamat hari lahir. Terharu, jua TERKEDU.

Sudah setahun waktu berlalu, namun bagai tak terasa lariannya. Apakah yang telah aku lakukan dalam tempoh satu tahun lepas? Adakah sumbanganku untuk Islam? Seakan tidak ada.. Namun tidak tahu bagaimana lagi dapat kupanjatkan kesyukuran lantaran Dia masih menthabatkan diriku atas jalan ini.. Apakah 10 Disember 2008 jua akan menjadi milikku? Apakah aku akan terus istiqamah pada tika itu?

Manusia sering sibuk dengan urusannya, sering pula alpa dengan dunia, sehinggakan sering pula terleka dari tanggungjawab sebagai khalifatullah. Terusan dibimbing, bila pula akan membimbing? Terusan ditarbiyah, bila lagi akan mentarbiyah? Sentiasa menerima, bila pula dapat memberi? Sungguh diri yang dhaif, tidak berdaya menceraikan kenikmatan dunia dengan talak tiga!

December 1, 2007

…..

Filed under: Uncategorized — khuzama @ 1:43 am

Dikelilingi timbunan nota-nota kuliah, menjelang imtihan yang menyesakkan jiwa bukanlah perkara baru dalam hidupku. Semenjak bergelar mahasiswa di IPTA utara ini, bermusafir menjejak ilmu perokonomian yang hampir tamat destinasi pengajian sarjana mudaku ini. Malah bukan perkara yang ajaib jika tidurpun berselimutkan helaian nota.Menjeling sejenak salinan tesis pelengkap pengajianku… aduhai, tidak kunafikan ia menuntut masa 24 jam 1minit setiap hari. Memerah otak yang masih punya tanggungjawab lain untuk menerima input ekonomi untuk dihadami. Serabut..?! tapi, berkat kesabaran, ketidakjemuan menapak ke paras 3 Fakulti Ekonomi yang menyisipkan 1001 kenangan, berbincang dengan penyelia, Dr. Zairy adalah antara ramuan yang kutumiskan dalam karya hak milik terpelihara ini. Senyum tanda aku puas. Syukur ya Allah.

Menerima sms tanpa diundang yang sengaja memenuhkan inbox pesanan handset lewat 2 hari yang lalu, sedikit sebanyak membuatkan aku terganggu. “khabar apakah zaid di sana? Semoga hidupmu sentiasa dalam keberkatanNya. Maaf, kiranya sms ini menggangu. Masih ingatkah zaid pada husna?”

Husna, mana mungkin nama itu padam dalam diari hatiku ini. Nama yang menyepi hampir 3 tahun yang lepas seusia dengan tahun pengajianku di sini. Nama yang mencatatkan kelukaan pada hati ini. Nama yang mengukir kenangan manis, tatkala menerima balasan pertama kali untuk mendekati gadis ini ketika di tingkatan 4, maahad johor. Namun, khabar yang kuterima di pertengahan semester pengajian untuk mengambil peperiksaan STAM membuatkan aku terkedu. Lantas kuatur langkah menuju ke utara, cuba untuk mencari ketenangan bagi kelukaan ini.

“zaid, maafkan husna. Husna masih menyayangi zaid. Perasaan husna masih segar seperti 5 tahun yang lepas…”

Aku tersenyum membaca sms yang ke2. senyum yang aku sendiri tidak pasti apa maksudnya. Mungkin aku mendabik bahawa aku menang! Dia kembali kepadaku, seperti yang pernah dilafazkan oleh teman akrabku, jika hatiku benar-benar mengasihinya dia pasti akan kembali padaku.

Benar teman, kini dia kembali! “lelaki yang soleh takkan mengalah hanya kerana cinta seorang perempuan…” Ya aduhai, kata-kata yang membuatkan darahku tersirap. Pedih! Nak nak ia dilafazkan oleh seorang perempuan. Cis, bengang sungguh ketika itu. Disapa oleh seorang sepupu yang ku kira paling “bengkeng” dan sombong. Jarang benar mencernakan senyuman. Hanya wajah selamba yang dipamerkan.

Ini semua, Angah punya pasal. Dicanangkan seluruh famili ketika syura keluarga akhir bulan itu. Malu sangat. Mahu rasanya ditukar Angah menjadi katak yang paling hodoh!

“Belajar di Maahad untuk menjadi pencinta manusia yang lemah ker? Rugi Ayah Chik menghantar awak belajar di sana.”

Sibuk sungguh kau perempuan. Hatiku yang parah ini kau simbah dengan limau nipis. Memang kau perempuan yang tidak mengerti. Tiada daya lagi untuk kumenjawab setiap peluru bicara yang dihamburkan oleh gadis berwatak serius itu. Ya kau menang?!Akurkah aku dengan setiap patah-patah kata yang begitu melukakan hati… tapi sukar untuk kunafikan kerana maujud kebenaran dalam senjata bicara itu…benar aku insan dhaif yang lemah..lemah dengan cinta manusia yang sia-sia… aku tertunduk lesu.

“Awak sekadar mengejar cinta yang tidak pasti akan kejayaannya. Dia juga manusia yang lemah sama seperti awak, ciptaan daripada hinanya air mani. Mengapa perlu dikejar cinta daripada insan yang hanya mengerti makna keseronokan semata-mata. tidak salah jika saya mengatakan cinta yang awak dambakan itu adalah salah satu daripada acuan lagenda agung kononnya, Romeo Juliet, Laila Majnun. Apa kurangkah lagenda cinta Islam untuk awak jadikan role model?”

“ Apa kurangkah kisah-kisah cinta Islam yang mampu awak lihat dan ambil iktibar. Atau awak yang sengaja membutakan mata dan hati?! Takkan ada yang mencebik andai cinta yang awak kejar seagung cintanya Rabiatul Adawiyah, seteguh kalimah syahadah Bilal Rabah dan seindah kasihnya Handzalah,”

Bisa benar kata-kata daripada mulut mungil itu. Aku dikatakan buta mata dan hati?! Benarkah telahan gadis itu? Hai, bukan awak yang merasa pedihnya hati ini, mudah benar membuat rumusan yang tidak adil itu, cuba kena pada batang hidung sendiri, mahu meraung.

”Benar, yang merasa semua kepedihan itu hanyalah awak. Kami yang memandang rasa serabut tengok keadaan awak. Konon-konon cita untuk berjuang di medan sampai jihad nun di Palestin katanya, tapi baru dijengah mehnah sebesar zarah ini, sudah mahu tumbang…

Aduhai lelaki, kau bukan calon soleh untuk bercita-cita menagih syahid di medan sana,” Bulat mataku memandang wajah mulus bertudung labuh itu. Sapaannya di rembang itu ketika berselisih di dapur rumah opah menyemarakkan lagi khutbahnya. Aku hanya memandang. Ingin aku membalas tapi memandangkan Angah yang tersengih di sebelahnya, aku memujuk diri supaya menerima sahaja hemburan kata-kata itu.

”Berapa lama kau mengenali perempuan itu? Pastinya tidak selama kau mengenali penciptaMu, benar bukan?! Cinta yang kau sendiri tidak pasti arah tujuan itu, benar-benar telah berjaya menumbangkan semangat juangmu kepada dunia. Cinta duniawi itu telah berjaya!,” Aku mencebik dan tersenyum sinis.

”Kau tidak percaya?! Lihat sahaja dirimu itu, mengalahkan ayam mati bini,” Mungkin! Aku mengiyakan walaupun hanya di dalam hati akan kebenaran kata-kata itu. Melihat keadaan aku, memang sah lah seolah-olah menunggu masa untuk dimasukkan ke dalam wad gila. Bertahun aku menganyam kasih bersama Husna, akhirnya aku ditinggalkan setelah aku menyerahkan seluruh kepercayaan aku padanya.

Alasan yang cukup pasif, pada bicaraku. Menerima calon yang diusulkan oleh keluarganya. Sukar untuk aku menerima hakikat itu. Dan, inilah habuan yang aku terima. Pelajaran entah ke mana, kehidupan yang tidak terurus. STAM, bakal menyapa tidak kurang daripada 2 bulan lagi. Dan aku tidak menjanjikan bahawa sebarang kejayaan bakal kuraih pada keluargaku.

”Kau terlalu naif?!,” Aku tersentak, benarkah? ”Lihatlah wajah-wajah babahmu, umimu dan lihatlah dengan mata hatimu, ISLAM! Golongan sepertimu adalah yang paling disukai oleh musuh-musih Islam. Lihatlah kebenaran, musuh-musuh Islam tidak pernah takutkan senjata kita, tetapi mereka cukup takutkan semangat jihad yang ada pada kita, ORANG ISLAM. Tapi, lihatlah jihadmu sudah terkulai layu.. Kau takkan mampu menentang mereka, sebab kau tidak mampu menentang jihad nafsumu dalam dirimu,”

Mendatar kalimah itu. ”Dimanakah peganganmu selama ini? Dimana alunan Kalamullah itu? Sudah lama benar aku tidak mendengar suaramu memuji Kalam Allah itu. Kau berpotensi untuk menjadi calon soleh untuk dirimu, keluargamu, dan agamamu. Perhatikanlah Allah tidak pernah menyediakan sepahit-pahit ubat kepada makhlukNya melainkan ubat itu menjanjikan satu kenikmatan kesihatan pada jiwamu yang takkan kau temui jika kau masih menutup mata hatimu,”

Aku meneliti bait-bait yang terlontar. ”Aku tidak menafikan manusia itu memerlukan cinta, sebab cinta itu kurniaan yang nian indah oleh Allah. Tapi, jangan rosakkan cinta itu dengan kelalaian hatimu dalam mempertimbangkan antara yang abadi dan bersifat sementara. Cinta manusia hanya sementara, jadikanlah ia penyuluh untuk dirimu meraih syurga Allah. Takkan kau temui cinta hakiki, selagi kau tidak membuka mata hatimu untuk mencari cinta abadi yang telah wujud dalam dirimu sedari azali,”

”Aku takkan sedih jika kau kecewa dengan hatimu yang tidak kuat menyintai Allah kerana kau takut untuk mendapatkan cinta itu kerana kau tahu siapa dirimu yang sebenarnya untuk meraih cinta Allah yang ternyata ramai berebut untuk mendapatkannya,” Dia melepaskan satu keluhan. ”Tapi aku terlalu sedih, kau hanya lemah hanya kerana cinta manusia biasa. Tidak terbanding dengan cinta yang terlalu agung itu. Kau terlalu lemah… sebab hatimu terlalu lemah untuk membuka mata hatimu melihat kepastian cinta yang sebenarnya,”

Pengakhiran ceramah cinta itu, dia berlalu tanpa memandang wajahku. Angah kulihat menitiskan air mata. Kenapa? Terbit persoalan itu. ”Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah,” terluncur kata-kata daripada Angah yang tidak pernah aku jangka kan.

Malam itu, lama aku bermunajat dan berteleku di atas sejadah. Qalam mulia itu kembali intim di bibir, tidak sekadar hanya merenung seperti kebiasaanya. Malam itu menyaksikan air mata lelaki ku, tumpah jua akhirnya, biarpun ia bukan yang pertama. Tapi, kali ini ia tumpah pada yang berhak.

Menangisi kepasifan diri ini. .. Serasanya itulah kali pertama aku merasakan akulah insan yang terlalu bodoh. Mendamba cinta yang hanya memberikan aku kesakitan. Tapi, Dia masih menyayangi diriku ini. Dikirimkan seorang insan untuk menegur kealpaanku. Dialah yang menyedarkan aku. Tapi, aku tahu ucapan terima kasih itu takkan dia terima sebaliknya dia pasti akan menyuruh aku menyampaikan ucapan terima kasih ku pada yang jauh lebih berhak.. pada Allah.

Benar, kata-katamu itu terlalu benar.Itulah kisah tiga tahun lepas. Kini, aku sudah mampu tersenyum. Tersenyum kerana aku sebenarnya sedang cuba untuk meraih ciri-ciri calon soleh yang pernah singgah di pendengaranku ini. Dan aku takkan berputus asa, takkan malu memohon padaNya moga akulah calon soleh untuk meraih cintaNya yang abadi.

Kepada sepupuku, Mardhiahtul Aliah… terima kasih atas sindiran sinismu itu. Terlalu pahit, tapi buah kemanisan iman itu sudah kutemui.Husna, juga ucapan terima kasih. Kerana jika dia tidak memutuskan hubungan itu, pasti aku takkan mengenal hakikat diri.

Sms husna ku balas… ”Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, tapi jangan biar aqal sunyi tanpa ilmu dan jangan biar hati sunyi tanpa cinta kepada Allah SWT,”

~Hak Milik Terpelihara: Norshafriza Abdul Razak~

WPMU Theme pack by WPMU-DEV.